Follow us.

Wednesday 4 May 2011

selamat menempuh peperiksaan pertengahan tahun!


“Sungguh Allah telah menolong kamu (mukminin) di banyak medan perang, dan (ingatlah) Perang Hunain. ketika jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu, tetapi (jumlah yang banyak itu) sama sekali tidak berguna bagimu, dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang-langgang”
[At-Taubah, 9 : 25]
Ayat di atas menceritakan mengenai peristiwa yang berlaku ketika Perang Hunain; peperangan yang disertai Rasulullah SAW dan jumlah tentera Islam lebih ramai dari tentera pihak lawan. Peperangan ini menjadi pengajaran yang sangat besar buat umat Islam kerana tentera Islam hampir kalah hanya disebabkan kerana pergantungan mereka terhadap bilangan tentera yang ramai dan leka terhadap pergantungan kepada Allah.
Begitulah juga ketika kita ingin menghadapi ‘peperangan’ peperiksaan ini. Kadang kita terlalai, kadang kita tidak sedari dengan merasakan bahawa usaha kita yang banyak itu yang akan menyebabkan kita berjaya dalam peperiksaan. Atau kata lainnya, kita merasakan pergantungan yang lebih terhadap usaha sendiri, sehingga alpa pada pergantungan pada Allah.
Jadikanlah medan jihad ini satu persiapan bagi kalian mempersiapkan diri khususnya dari aspek akademik kerana cabaran mendatang lebih hebat daripada sebelum ini. Persiapan yang rapi diperlukan bagi memastikan momentum untuk terjun dalam realiti sebenar masyarakat menanti kalian. Persediaan modal insan yang lengkap dari seluruh aspek amat diperlukan sejajar dengan mafhum firman Allah yang sangat menitikberatkan tentang peri penting persediaan yang rapi.
“Dan bersedialah kamu dari kekuatan untuk peperangan itu apa yang kamu mampu dari kuda yang terikat moga demikian menakuti musuh Allah dan musuh kamu..”
[Al-Anfal : 60]
Ingatlah, pergantungan selayaknya hanyalah pada Allah. Kejayaan itu milik Dia, Dia berhak memberinya pada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Berusahalah kerana Allah dan yakinlah bahawa Dia akan menolong hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dalam berusaha.
Buat semua para mujahid wa mujahidah di Al-Ihsan yang disanjungi dan disayangi sekalian, kami dari pihak BDDK ingin mengucapkan SELAMAT MENJALANI PEPERIKSAAN  buat kalian semua. Selamilah erti TAWAKKAL itu serta letakkannya pada garis yang betul. Hasbunallahu wa ni’mal wakeel. Hanya Allahlah sebaik-baik pelindung kita semua. Sandarkan segalanya padaNya. Moga kejayaan menjadi milik kalian semua, insya Allah.
“..Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah pada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal “
[Ali-Imran, 3 : 159]
Sama-samalah kita berdoa agar  dipermudah untuk menempuh peperiksaan ini.Selamat Berjuang!


No comments: